HiburanTempatan

Legenda Muzik Ahmad Nawab Meninggal Dunia pada Usia 92

Allahyarham Ahmad Nawab atau nama sebenar, Ahmad Khan Nawab Khan, dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006. -Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Komposer veteran Tan Sri Ahmad Nawab menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 tahun pada Ahad. Pemergian beliau dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez, kepada Astro AWANI.

Memulakan kerjaya muzik pada usia 16 tahun, Ahmad Nawab meninggalkan legasi besar dalam industri muzik negara. Beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada tahun 2006. Sejak era 1950-an, beliau telah menggubah lebih 2,000 lagu dan menghasilkan lebih 200 album, menjadikannya salah seorang individu paling berpengaruh dalam dunia muzik.

Ahmad Nawab turut bertanggungjawab melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni suara, termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid, dan Ramlah Ram. Karya beliau juga melangkaui sempadan negara dengan menghasilkan muzik untuk artis Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Salah satu karya ikonik beliau, Malaysia Truly Asia, yang didendangkan oleh Datuk Khadijah Ibrahim, menjadi simbol lagu bertemakan pelancongan untuk mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa. Ahmad Nawab juga pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun dan menerima pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) untuk lagu pertamanya, Bintang Malam, pada tahun 1980.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, jenazah Ahmad Nawab kini berada di kediamannya di Taman Melewar. Urusan mandi dan kafan akan dilakukan di surau berhampiran pada pagi Isnin sebelum jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudathul Sakinah sekitar jam 10 pagi.

Persatuan Seniman turut menyatakan rasa dukacita atas pemergian tokoh legenda ini. Kepimpinan dan barisan exco Seniman menyifatkan Ahmad Nawab sebagai seorang maestro muzik yang sangat berpengalaman dan dihormati, bukan sahaja dalam industri muzik tempatan tetapi juga di peringkat antarabangsa.

“Kehilangan beliau adalah satu tamparan hebat kepada seluruh pemain industri muzik dan filem negara. Kami mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah dan mendoakan agar beliau ditempatkan di syurga,” kata Hafiz Nafiah.

Al-Fatihah.