Global

BELANDA BOIKOT EUROVISION 2027 KERANA ISU PENYERTAAN ISRAEL

– Foto Reuters –

Belanda mengesahkan tidak akan menyertai Pertandingan Lagu Eurovision 2027 berikutan kontroversi berterusan mengenai penyertaan Israel. Keputusan itu diumumkan oleh badan penyiaran awam Belanda, Nederlandse Publieke Omroep (NPO), selepas tiada penyiar di negara berkenaan bersedia mengambil tanggungjawab menguruskan penyertaan wakil Belanda.

Keputusan terbaru itu menyaksikan NPO mengubah pendirian terdahulu yang memberi bayangan bahawa Belanda mungkin kembali menyertai Eurovision selepas memboikot edisi 2026. Walaupun perbincangan awal menunjukkan terdapat sokongan untuk kembali bertanding, rancangan tersebut menerima bantahan daripada kakitangan penyiaran, tokoh media serta sebahagian masyarakat yang mempersoalkan penyertaan Israel.

Pengarah Media NPO, Jurre Bosman berkata, penyertaan Israel terus mencetuskan pelbagai reaksi, perdebatan dan perpecahan dalam masyarakat Belanda. Selepas mengadakan perbincangan bersama lembaga penyiar, NPO akhirnya memutuskan bahawa Belanda perlu menarik diri daripada pertandingan 2027 kerana keadaan semasa masih terlalu sensitif untuk penyertaan diteruskan.

Belanda sebelum ini menyertai Sepanyol, Ireland, Iceland dan Slovenia dalam memboikot Eurovision 2026 sebagai bantahan terhadap penyertaan Israel serta operasi ketenteraannya di Gaza. Meskipun tidak menghantar wakil ke pertandingan tahun hadapan, NPO memaklumkan bahawa Eurovision 2027 masih akan disiarkan melalui saluran awam Belanda untuk tontonan peminat tempatan.

Eurovision 2027 dijadualkan berlangsung di Burgas, Bulgaria selepas penyanyi negara itu memenangi pertandingan edisi 2026. Penarikan diri Belanda dijangka terus meningkatkan tekanan terhadap Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU), ketika penganjur berusaha mempertahankan Eurovision sebagai acara hiburan tidak berpolitik dalam keadaan konflik dan isu kemanusiaan terus mempengaruhi keputusan negara peserta.