KLUANG: Seorang mekanik berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan melanggar tiang lampu di Kilometer 2.8, Jalan Kluang-Nyior, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 10.56 malam.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan dari Nyior ke arah Kluang. Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang lampu di tepi jalan,” katanya.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah segera dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk mendapatkan rawatan. Namun, beliau disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
Menurut Bahrin, bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian, dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.