Tempatan

Suspek Kes Buli, Pijak Pelajar UPNM Hadir di Mahkamah

Pelajar senior yang dipercayai terlibat dalam kes buli penuntut tahun satu UPNM sehingga mangsa mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak tiba di Mahkamah Kuala Lumpur, pagi ini

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar senior yang disyaki terlibat dalam kes buli terhadap pelajar tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hingga menyebabkan mangsa mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang tiba di Mahkamah Majistret 4 pagi ini.

Suspek, berusia 19 tahun, tiba sekitar jam 9.19 pagi dengan diiringi pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. Dia menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan. Jika didapati bersalah, hukuman yang boleh dikenakan adalah penjara sehingga satu tahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, sebelum ini mengesahkan suspek akan didakwa mengikut seksyen tersebut. Kes ini melibatkan seorang pelajar tahun satu UPNM yang cedera akibat dipijak oleh seorang pelajar tahun tiga dalam kejadian yang dilaporkan pada 21 Oktober lalu.

Mangsa, yang berusia 19 tahun, ketika itu berada di tepi padang kawad selepas sesi panggil nama. Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan serius pada tulang rusuk dan tulang belakang.

Insiden ini berlaku sehari sebelum kejadian berasingan di mana seorang pelajar tahun dua UPNM ditekap dengan seterika oleh pelajar tahun empat. Kes ini telah menimbulkan kebimbangan tentang budaya buli di institusi tersebut.