Tempatan

Veteran ATM Meninggal Dunia Ketika Menghadiri Majlis di MAEPS

KKDW merakamkan ucapan terima kasih kepada Allahyarham Md Abadi Hassan atas khidmat dan sumbangan bakti sebagai Ahli JPKKP

PUTRAJAYA: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Md Abadi Hassan, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menghadiri Majlis Anugerah Aspirasi Desa Madani 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, semalam.

Allahyarham, yang juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang, disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang sekitar jam 2.30 petang, menurut kenyataan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“KKDW mengucapkan terima kasih atas khidmat dan sumbangan Allahyarham sebagai Ahli JPKKP,” menurut kenyataan tersebut.

KKDW juga menghargai bantuan ATM dalam menguruskan penghantaran jenazah Allahyarham pulang ke kampung halamannya di Kampung Sungai Duri, Nibong Tebal, Pulau Pinang, untuk dikebumikan.

“Kami berharap keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi kehilangan ini. Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” tambah kenyataan itu.