Global

Tegas Biden: Anti-Semitik Tidak Dibenarkan di Kampus AS

Tindakan polis terhadap perkhemahan pro-Palestin di kampus UCLA. Gambar: REUTERS

Presiden Joe Biden mengesahkan bahawa keamanan dan ketertiban serta pematuhan kepada kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam kampus-kampus di Amerika Syarikat (AS). Ini berlaku susulan keadaan tegang yang berlaku dalam beberapa minggu di kampus-kampus di seluruh AS termasuk insiden pertempuran dengan polis dan penangkapan besar-besaran terhadap pelajar yang mengambil bahagian dalam protes menentang peperangan antara Israel dengan Hamas di Gaza.

Biden, setelah menahan diri daripada memberi komen sejak konflik tersebut berlaku, akhirnya bersuara beberapa jam selepas ratusan polis membongkar khemah yang dipasang di kampus University of California, Los Angeles (UCLA) dan menahan puluhan penunjuk perasaan.

“Kita bukan negara kuku besi yang menghalang orang ramai daripada bersuara atau menentang perbezaan pendapat. Namun, kita juga bukan negara tanpa undang-undang. Kita adalah masyarakat sivil dan keamanan serta ketertiban mesti diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan dari Rumah Putih.

Biden juga menegaskan bahawa unsur anti-Semitik atau ancaman keganasan terhadap pelajar Yahudi tidak akan ditoleransi, baik di negara ini mahupun di mana-mana kampus universiti di AS.

“Tiada tempat untuk ucapan berbaur kebencian atau sebarang jenis keganasan, sama ada anti-Semitik, Islamofobio atau diskriminasi terhadap warga Arab-Amerika atau Palestin-Amerika. Ia adalah salah,” katanya.

Sebelum ini, pelajar UCLA yang mengenakan helmet putih membentuk barisan manusia dengan saling bergandengan tangan untuk menghalang polis daripada menangkap penunjuk perasaan. Pasukan polis menggunakan ‘flashbang’ untuk membubarkan kumpulan pelajar yang berkumpul di luar khemah sambil mereka berseru ‘Bebaskan mereka!’, sementara helikopter berlegar-legar di ruang udara kampus.

Polis juga menghalang akses ke tangga ke tempat kejadian. Beberapa pelajar yang memakai jaket kuning untuk memberikan bantuan perubatan memberitahu AFP bahawa kebanyakan daripada mereka telah dihalang daripada mengakses kawasan tersebut.

Di tempat lain dalam perkhemahan itu, beberapa pelajar membawa payung, helmet dan perisai plastik untuk berdepan dengan polis sambil mereka berseru ‘Bebaskan Palestin!’ dan menyanyikan bait ‘From the river to the sea, Palestine will be free!’.

Kehadiran sejumlah besar pasukan polis di kampus berikutan kritikan bahawa tindakan penguatkuasaan terlalu lambat dalam menangani insiden pertempuran yang berlaku pada Selasa lepas, di mana golongan penentang penunjuk perasaan menyerang perkhemahan pelajar pro-Palestin.

Penunjuk perasaan telah berkumpul di sekurang-kurangnya 40 kampus universiti di AS sejak bulan lalu bagi menentang serangan Israel di Gaza yang telah menyebabkan kematian terus meningkat. Sementara itu, bekas Presiden AS, Donald Trump yang bersedia untuk menyaingi  Biden pada pilihan raya akan datang telah berulang kali memuji tindakan polis dan menggesa untuk segera membongkar perkhemahan penunjuk perasaan.