SukanTempatan

Persediaan Akhir: The Speedy Tigers Bersiap Sedia untuk Piala Sultan Azlan Shah

Barisan pemain skuad hoki senior lelaki negara untuk bertanding dalam Piala Sultan Azlan Shah yang bermula pada Sabtu ini. Gambar: KHM

Dua pemain muda iaitu Azimuddin Syakir Kamaruddin dan Che Sharul Azmi Che Saupi adalah di antara 18 pemain yang telah dipilih untuk menyertai skuad hoki senior lelaki negara dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak yang akan bermula pada Sabtu ini.

Azimuddin yang bermain di posisi penyerang dan Che Sharul Azmi yang bermain di posisi penjaga gol akan meraih pengalaman antarabangsa pertama mereka bersama skuad kebangsaan. Ketua jurulatih negara, Sarjit Singh menggambarkan pemilihan 18 pemain yang diumumkan hari ini sebagai hasil penilaian pelbagai faktor termasuk prestasi semasa pemain, komitmen semasa sesi latihan dan pemahaman terhadap konsep yang diterapkan oleh pasukan.

“Kami barisan kejurulatihan berharap persefahaman antara pemain muda atau pemain baharu di dalam pasukan bersama pemain yang lebih senior dapat dibentuk dengan cepat sewaktu dalam perlawanan dan berharap pasukan ini dapat berkembang serta menjadi lebih matang dengan secepat mungkin terutamanya ketika bersaing di peringkat antarabangsa.”

“Barisan kejurulatihan juga mengharapkan pemain dapat memberikan aksi yang konsisten dalam setiap perlawanan selain keyakinan yang tinggi serta sikap yang baik dapat ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung. Kejohanan pertama ini juga seharusnya digunakan oleh pemain-pemain yang lebih muda untuk menimba ilmu sebanyak yang mungkin daripada pemain yang lebih berpengalaman,” kata Sarjit.

Semalam, The Speedy Tigers beraksi dalam pertandingan persahabatan menentang New Zealand sebagai bahagian daripada persiapan terakhir mereka sebelum kejohanan dimulakan. Malaysia menang dengan skor 3-2 sebelum mengalami kekalahan 2-1 kepada Korea Selatan petang tadi. Sebagai juara bertahan selepas menjuarai edisi 2022, skuad negara akan memulakan kejohanan dengan perlawanan menentang Pakistan pada Sabtu ini. Empat pasukan lain yang turut serta dalam edisi ini adalah Kanada, New Zealand, Jepun dan Korea.

Berikut adalah senarai pemain dan posisi:

1 Muhammad Hafizuddin Othman – penjaga gol

2 Che Sharul Azmi Che Saupi – penjaga gol

3 Muhammad Marhan Jalil (kapten) – pertahanan

4 Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan – pertahanan

5 Muhammad Amirul Hamizan Azhar – pertahanan

6 Muhamad Shafiq Hassan – pertahanan

7 Muhammad Najib Abu Hassan – pertahanan

8 Syarman Mat Tee – pertahanan

9 Mohd Fitri Saari – tengah

10 Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi – tengah

11 Shello Silverius – tengah

12 Norsyafiq Sumantri – tengah

13 Alfarico Lance Liau Jr – tengah

14 Faizal Saari – penyerang

15 Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal – penyerang

16 Muhajir Abdu Rauf – penyerang

17 Mohamad Akhimullah Anuar Esook – penyerang

18 Azimuddin Syakir Kamaruddin – penyerang