KUALA LUMPUR: Selepas menegaskan mahu berpisah dengan suaminya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dilaporkan akan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin ini.
Ia sepatutnya difailkan pada Khamis, namun tertangguh ke minggu depan selepas isteri kepada Syamsul Yusof itu sedang menjalani penggambaran di Port Dickson.Next
Mengesahkan perkara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, hanya permohonan cerai sahaja akan difailkan pada hari tersebut.
Ditanya sama ada model itu akan hadir di mahkamah bagi permohonan cerai tersebut, Akberdin berkata, ‘pasti hadir’.
Dua hari lalu, Puteri Sarah melalui Instagramnya memohon agar Syamsul ‘melepaskannya’ kerana tidak rela dimadukan.
“Kepada Mohd Shamsul, oleh kerana awak sekat saya sehingga sekarang dan tidak ajak berbincang, saya minta lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu,” katanya.
Syamsul pula dalam satu temu bual eksklusif media berkata, dia kini sedang berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah.
Pengarah itu turut meminta isteri pertamanya itu pulang ke rumah dan berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Sumber: Sinar Harian