Jenayah

GENG YUNAA TUMPAS, 17 KES EKSPLOITASI SEKS DAN PEMERDAGANGAN KANAK-KANAK DIRUNGKAI

– Foto Bernama –

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Yunaa yang dipercayai terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi seksual. Kumpulan itu dipercayai mempunyai 10 ahli dan menjalankan kegiatan di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur sejak awal 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sindiket berkenaan dipercayai merekrut remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur sebelum menawarkan mereka untuk kegiatan pelacuran. Aplikasi Telegram didakwa digunakan bagi mempromosikan perkhidmatan tersebut dan mendapatkan pelanggan secara dalam talian.

Kegiatan itu dianggarkan melibatkan antara 20 hingga 30 individu yang ditawarkan setiap hari, dengan pelanggan dikenakan bayaran sekitar RM200 hingga RM350 bergantung pada pakej dan lokasi. Sindiket tersebut dipercayai menerima kira-kira 100 pelanggan sehari serta mampu menjana pendapatan sehingga RM15,000 sehari atau kira-kira RM450,000 sebulan.

Menerusi Op Angel yang dilaksanakan pada 24 hingga 26 September lalu, polis menahan tujuh suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun. Dua lagi ahli kumpulan dilaporkan sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan berkaitan, manakala seorang lagi suspek masih bebas dan sedang giat dikesan oleh pihak berkuasa.

Polis turut merampas 14 telefon bimbit serta beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut. Kertas siasatan kemudian dirujuk kepada Unit Jenayah Berat Jabatan Peguam Negara, yang bersetuju supaya sembilan ahli kumpulan berkenaan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 23 Oktober mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan berkaitan keanggotaan dalam kumpulan jenayah terancang.