Universiti perlu menjadi wadah awal dan tunjang utama bagi memupuk kesedaran berkenaan alam sekitar dalam kalangan mahasiswa.
Menurut Profesor Dr. Ahmad Ismail, Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, kesedaran yang ditanam awal dapat membantu mencipta masyarakat yang lebih peka terhadap alam sekitar apabila mereka memasuki alam pekerjaan.
Menurut beliau amalan penjagaan alam sekitar yang dipupuk melalui pendidikan universiti juga dijangka dapat diamalkan oleh masyarakat dan dilestarikan dalam jangka masa yang panjang.
“Yang penting daripada ini ialah, mereka mampu berfikir secara saintifik dan berpengetahuan asas.
“Ini penting supaya mereka boleh terlibat dalam pelbagai perbincangan penting berkenaan alam sekitar,” katanya dalam program AWANI Pagi, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, hari ini.
Ahmad menjelaskan bahawa pendidikan di semua peringkat dan lapisan masyarakat dapat menjadi alat yang efektif untuk membentuk kesedaran.
Sementara itu, dalam mengulas Program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kawasan hijau, Ahmad menyatakan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Ini termasuk individu dan komuniti masyarakat selain daripada agensi kerajaan dan badan korporat yang terlibat.
Sumber: ASTRO AWANI