KEPALA BATAS: MCA akan terus memberikan sokongan dan berkempen bersama calon Barisan Nasional (BN) walaupun memilih tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Wee yang turun berkempen untuk calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MCA secara kolektif membuat keputusan tidak bertanding bagi memperkukuh parti serta menggilap bakat ahli mudanya sebagai persiapan berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Sementara itu katanya Reezal Merican adalah pemimpin terbaik untuk mewakili DUN berkenaan kerana beliau memahami masalah dan keperluan rakyat di situ.
“Pengalamannya sebagai menteri di dua kementerian sebelum ini juga membuatkan Reezal Merican arif dalam soal pentadbiran,” katanya kepada Bernama.
Reezal Merican yang pernah mengetuai Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pada PRN Pulau Pinang.
Sementara itu di Kelantan, kempen calon BN bagi DUN Bunut Payong Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin dibantu Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang juga Pengerusi Perhubungan MCA Kelantan Chua Hock Kuan bersama ahli parti itu dalam kempennya.
Chua ketika ditemui di Kampung Telaga Bina berkata MCA turun padang membantu bagi memudahkan komunikasi antara calon dan pengundi dalam kalangan masyarakat Cina di DUN berkenaan.
“Kita mengumpul maklumat mengenai permasalahan yang dihadapi peniaga, ini bagi membolehkan peniaga yang tinggal di kawasan Bunut Payong khususnya dan Kota Bharu amnya dapat mengembangkan perniagaan menerusi bantuan geran atau pinjaman,” katanya.
Mohamed Hasnan berdepan persaingan satu lawan satu dengan calon PAS Shaari Mat Yaman pada PRN Kelantan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak pada 12 Ogos, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.