PolitikTempatan

PRN: Perang bendera di Selangor tidak semeriah PRU15

Bendera-bendera parti kelihatan di kebanyakan tempat terutamanya di jalan-jalan besar dalam kawasan DUN Sungai Kandis ketika tinjauan di Shah Alam, baru-baru ini.

SHAH ALAM: Perang bendera yang biasanya melengkapkan suasana penuh warna-warni ketika tempoh berkempen, bagaimanapun dilihat sendu dan tidak semeriah bagi musim Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor ketika ini.

Tinjauan Bernama di kawasan seperti Shah Alam antaranya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mendapati kebanyakan bendera-bendera yang dipasang juga tidak menampakkan persaingan untuk mana-mana parti memonopoli sesuatu kawasan malah ‘billboard’ wajah calon jugak tidak banyak kelihatan.

Berbeza keadaannya di Kuala Langat di DUN Sijangkang, ‘perang bendera’ itu lebih jelas berikutan bendera mula dipasang memenuhi jalan utama namun masih dirasakan kurang meriah oleh penduduk setempat jika dibandingkan dengan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali Khairul, 28 berkata sebelum ini, perang bendera di Pekan Telok Panglima Garang meriah dengan lambakan pelbagai bendera parti serta ‘billboard’ memenuhi satu-satu kawasan tumpuan khususnya di persimpangan utama jalan.

“Sekarang satu kawasan tu, satu parti bendera. Tidak nampak bersaing. Mungkin masih awal lagi,” katanya kepada Bernama.

Mengakui perkara yang sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Selangor Normaizatulakmal Tujad berkata hasil pemantauan pada lima hari pertama kempen oleh pihaknya di lapangan mendapati perang bendera di sekitar negeri itu masih kurang meriah.

“Secara umum, kita dapati tidak nampak perang bendera seperti waktu PRU-15 lepas. Kami jangka mereka baru sahaja dapat momentum dan mungkin minggu hadapan akan mula meriah,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh juga bersetuju dengan situasi itu kerana berdasarkan pemerhatian beliau, perang bendera dan poster di sebahagian DUN agak berkurangan berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Namun, kekurangan poster dan bendera parti bukan penanda aras jumlah undi kerana dapatan-dapatan pada pilihan raya lepas menunjukkan banyaknya bendera parti berkibaran tidak semestinya memberi petanda kemenangan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN ini pada 12 Ogos dan undi awal pada 8 Ogos.

Selangor mempunyai 56 kawasan DUN dengan seramai 3,747,057 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRN ini.