Politik

PRK DUN Kuala Kubu Bharu: Pertembungan Empat Penjuru

Calon-calon yang akan bertanding dalam PRK Kuala Kubu Bharu iaitu (Dari kiri) Khairul Aizat dari PN, Nyau Ke Xin sebagai calon Bebas, Hafizah dari PRM dan Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan daripada DAP. Gambar: NSTP/ Saifullizan Tamadi

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bermula hari ini dengan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas. Pegawai Pengurus PRK DUN Kuala Kubu Bharu, Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan pencalonan rasmi setelah tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.

PH menurunkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan sementara PN menentangnya dengan pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor Khairul Azhari Saut. PRM diwakili oleh Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin sebagai calon Bebas. Yuhanas mengesahkan tiada kertas permohonan calon ditolak setelah pemeriksaan dokumen.

Namun, beliau menyatakan bahawa calon Bebas Chng Boon Lai telah menghantar borang permohonan tetapi menarik semula permohonan tersebut pada saat akhir. PRK Kuala Kubu Bharu diadakan selepas kematian penyandang dari DAP Lee Kee Hiong pada 21 Mac disebabkan kanser. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei dengan pengundian awal pada 7 Mei.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari pengisytiharan calon pada pagi ini hingga 10 Mei, jam 11.59 malam. Jumlah Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah 40,226 orang termasuk 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan, serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.