Sukan

PENGGANTUNGAN TAMAT, TUJUH PEMAIN WARISAN KEMBALI BERAKSI

– Foto Astro –

Tujuh pemain warisan yang sebelum ini dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kini dibenarkan kembali menyertai semua aktiviti bola sepak mulai 1 November 2026. Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan hukuman penggantungan terhadap kesemua pemain berkenaan telah berakhir pada 31 Oktober.

Perkara itu dimaklumkan menerusi pekeliling MFL bertarikh 30 Oktober yang kemudiannya tersebar di media sosial. Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd turut mengesahkan bahawa kandungan pekeliling yang ditandatanganinya itu adalah sahih, sekali gus membolehkan pemain terlibat kembali beraksi dalam pertandingan rasmi.

Tujuh pemain berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Daripada jumlah tersebut, Figueiredo, Palmero, Irazabal dan Hevel beraksi bersama Johor Darul Ta’zim, manakala Holgado dilaporkan hampir menyertai DPMM FC seperti yang disahkan oleh kelab dari Brunei itu sebelum ini.

Isu melibatkan tujuh pemain itu tercetus pada September tahun lalu selepas FIFA mendapati dokumen palsu telah digunakan bagi menyokong kelayakan mereka sebagai pemain kelahiran luar negara untuk mewakili Malaysia dalam perlawanan antarabangsa. Susulan perkara berkenaan, FIFA mengenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap semua pemain terbabit.

Pada Mac lalu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain tersebut berhubung hukuman FIFA berkaitan pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan. CAS mengekalkan tempoh penggantungan selama 12 bulan, namun menetapkan larangan itu hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan bukannya semua aktiviti berkaitan bola sepak sebelum hukuman berkenaan tamat sepenuhnya.