Global

Pihak Berkuasa Palestin Minta Campur Tangan AS Untuk Halang Serangan di Rafah

Pada Ahad, kenderaan perisai Israel berkumpul sepanjang pagar sempadan di selatan Semenanjung Gaza. Gambar: EPA

Pada hari Isnin, pihak berkuasa Palestin (PA) terlibat dalam perundingan yang intensif dengan pihak tertentu untuk menghalang rancangan Israel untuk menyerang Bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. Tentera Israel telah mengarahkan penduduk Palestin di kawasan kejiranan timur Rafah supaya segera berpindah pada hari Isnin, dan menekankan kepada mereka untuk bergerak ke pekan al-Mawasi di selatan Gaza. Menurut laporan Agensi Anadolu yang mengutip siaran Radio Tentera Israel, kira-kira 100,000 orang awam Palestin yang tinggal di kawasan tersebut dijangka akan berpindah.

“Kami meminta pentadbiran AS (Amerika Syarikat) untuk campur tangan bagi mengelakkan pembunuhan beramai-ramai yang akan mengakibatkan kesan serius,” kata PA dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa yang berpusat di Ramallah mengumumkan bahawa mereka telah menghubungi pihak serantau dan antarabangsa, terutamanya AS untuk meminta bantuan dalam menghalang penaklukan Rafah. Hal ini demikian kerana Rafah adalah tempat tinggal bagi lebih daripada 1.5 juta orang Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal mereka dan mencari perlindungan daripada serangan Israel sejak 7 Oktober yang lalu.

Lebih daripada 34,700 warga Palestin kebanyakan daripadanya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh akibat serangan tersebut yang juga menyebabkan kemusnahan yang meluas. Setelah hampir tujuh bulan serangan oleh Israel, kebanyakan kawasan di Gaza sekarang hanya tinggal runtuhan bangunan yang menyebabkan 85 peratus penduduknya kehilangan tempat tinggal.