Calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menitikberatkan lima teras dalam manifesto untuk menarik sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.
Manifesto tersebut merangkumi pembangunan berkualiti dan mampan, kelestarian alam, memperkasa ekonomi setempat, potensi generasi muda dan wanita serta membela masyarakat minoriti.
Dalam teras pembangunan, Khairul Azhari bertekad untuk memperjuangkan pembangunan infrastruktur dan prasarana asas yang berkualiti dan sempurna. Selain itu, beliau berjanji akan menjadi suara bagi warga tempatan serta bertindak sebagai perantara antara rakyat dan agensi kerajaan.
Dalam aspek kelestarian alam, pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu berhasrat untuk menyusun ‘blueprint’ pembangunan yang akan mengekalkan kebersihan dan kehijauan alam semulajadi. Beliau juga bercita-cita untuk mempromosikan kecantikan alam sekitar sebagai destinasi ekopelancongan yang dapat menggerakkan ekonomi tempatan.
Dalam usaha memperkasa ekonomi setempat, Khairul Azhari Saut yang berasal dari Felda Sungai Tengu berkomitmen untuk membangunkan sebuah pusat khidmat yang juga akan berfungsi sebagai pusat pemudahcara dan tempat pertemuan bagi warga tempatan dengan pemain industri tempatan. Selain itu, beliau berhasrat untuk menyediakan platform dalam talian yang akan digunakan untuk mempromosikan serta menjadi ejen pemasaran bagi produk-produk tempatan.
Dalam usaha untuk memperkasa potensi generasi muda dan wanita, Khairul Azhari berjanji untuk meningkatkan kemudahan sukan dan rekreasi serta fasiliti awam, sambil meningkatkan program pemerkasaan golongan tersebut terutamanya dalam bidang sukan dan sosioekonomi.
Tawaran terakhir dalam manifesto calon PN adalah pembelaan terhadap masyarakat minoriti. Beliau bertekad untuk menekankan pengiktirafan dan pemartabatan perkampungan Orang Asli dengan menyediakan kemudahan asas berkualiti dan selamat. Beliau juga berhasrat untuk menuntut pembangunan yang lebih mesra orang kurang upaya (OKU) terutamanya di setiap prasarana awam di seluruh Kuala Kubu Baharu.