TempatanHiburan

Pengunjung Genting Highlands bakal dikenakan kutipan tol

Kutipan tol bakal dikenakan terhadap pemandu yang berkunjung ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands tidak lama lagi. – Foto KLOOK

SHAH ALAM: Kutipan tol bakal dikenakan terhadap pemandu yang berkunjung ke kawasan pelancongan tanah tinggi, Genting Highlands tidak lama lagi.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd berkata, syarikat itu akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi tersebut.

“Lingkaran Cekap bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan, dan paling penting menyelenggara jalan.

“Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menyelenggara jalan di tanah tinggi sejak membinanya pada pertengahan 60-an,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan bakal dibangunkan plaza tol.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.

Sementara itu, pihaknya turut menepis dakwaan bakal berlakunya kutipan tol pada kadar RM2.50 dan RM3 bermula Jun 2024.

Tambahnya, perkara tersebut memerlukan lebih banyak perbincangan sebelum membuat pengumuman rasmi.

“Kadar tol akan mengambil kira kos dan kerja penyelenggaraan untuk jalan ini,” ujar jurucakap itu.