Fan Bingbing, bintang filem terkenal dari China yang akan dilantik sebagai Duta Pelancongan Melaka 2024 dianggap akan memberi impak yang besar kepada sektor pelancongan negeri, terutamanya dalam menarik kedatangan pelancong antarabangsa.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyatakan bahawa ini kerana selebriti tersebut memiliki pengaruh yang besar dalam media sosial dan mampu menggunakan platform tersebut untuk mempromosikan Melaka secara antarabangsa.
Ini akan memberi dorongan kepada sektor pelancongan negeri terutama semasa pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya mendengar, meneliti cadangan dan komen daripada netizen berkaitan pelantikannya tetapi saya ingin maklumkan bahawa kehadiran Fan Bingbing memberi impak lebih besar pada sektor pelancongan negeri ke peringkat bertaraf dunia.
“Kerajaan negeri juga tidak mengeluarkan belanja yang besar bagi pelantikannya, sebaliknya kita hanya menguruskan aspek logistik kerana tiket penerbangannya juga ditaja oleh sebuah syarikat tempatan selain pengurus antarabangsanya merupakan anak tempatan dan faktor ini memudahkan usaha yang dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selepas merasmikan Perarakan Perahu Naga Melaka 2024, yang turut dihadiri oleh Exco Pelancongan, Warisan, Seni, dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman beliau menyatakan bahawa majlis pelantikan Fan Bingbing sebagai duta akan diadakan secara rasmi pada 15 Jun ini di Encore Melaka.
Fan Bingbing yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China yang sama dengan X) dan 4.1 juta pengikut di Instagram, sering kali dipandang sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.
Selain terkenal dalam filem China, beliau juga telah membintangi filem adiwira Hollywood seperti ‘X-Men: Days of Future Past’ serta filem dari Perancis dan Korea.
Pada tahun 2017, Fan Bingbing menghiasi kulit majalah Time dan dinamakan sebagai salah satu dari 100 Orang Paling Berpengaruh.
Sementara itu, Ab Rauf menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyambut baik pelaksanaan program yang memperkasa tradisi, seperti Perarakan Perahu Naga Melaka yang merupakan perayaan tradisional kaum Cina sempena Pesta Duanwu.
Melalui inisiatif tersebut, acara dan aset warisan dapat diperkenalkan kepada setiap lapisan generasi.
Sebanyak 13 pasukan yang melibatkan 150 peserta dari seluruh negara menyertai perarakan tersebut di Sungai Melaka yang berlangsung hari ini dan esok.
Sumber: BERNAMA