Kesihatan

KKM Lancar Projek Pelepasan Nyamuk ‘BerWolbachia’ ke Sembilan Lokaliti Tambahan di Semenanjung

Inisiatif tersebut dilaksanakan berterusan berdasarkan kejayaan dan keberkesanan projek yang telah dimulakan pada tahun 2019 dalam usaha memerangi kes denggi.

Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat untuk memperluaskan projek pelepasan nyamuk Aedes ‘berWolbachia’ ke sembilan lokaliti tambahan, melibatkan beberapa negeri di Semenanjung termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu susulan kejayaan dan keberkesanan projek berkenaan yang mula dilaksanakan pada 2019 dalam usaha memerangi kes denggi.

“Kita akan menambah (lokaliti pelepasan nyamuk ‘berWolbachia’) fokus kita adalah di Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Melaka, Johor termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Saya akan memastikan tapak pembinaan juga akan menjadi antara fokus hotspot diberikan tumpuan.

“Sehingga kini sebanyak 35 lokaliti pelepasan telah dilaksanakan di seluruh negara dan selepas empat tahun pelaksanaan bilangan kes denggi menurun antara 45 hingga 100 peratus di 19 lokaliti pelepasan yang telah layak dinilai,” katanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam sesi media selepas merasmikan program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan sempena sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira hari ini.

Dzulkefly menyebut bahawa projek pelepasan nyamuk Aedes ‘BerWolbachia’ di Kem Kementah Desa Setia Wira di sini juga menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 87.2 peratus sejak bermula pada 2020. KKM juga telah memohon peruntukan dalam Bajet 2025 untuk pelaksanaan projek tersebut.

Bagi tempoh Januari hingga 1 Jun 2024, sebanyak 64,629 kes denggi dilaporkan berbanding 48,723 kes pada tempoh yang sama tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 15,906 kes atau 32.6 peratus. Sebanyak 48 kematian akibat denggi juga dilaporkan pada tempoh tersebut berbanding 34 kematian pada tahun 2023.

Mengenai program hari ini, beliau menggesa semua pihak untuk turut serta dalam aktiviti ‘Cari dan Musnah’ tempat pembiakan nyamuk Aedes di premis masing-masing selama 10 minit setiap minggu dan menjadikan aktiviti gotong-royong ‘One Hour Malaysia Clean Up’ sebagai aktiviti bulanan.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

INFO: Nyamuk Aedes ‘berWolbachia’ merujuk kepada nyamuk Aedes aegypti yang dijangkiti dengan bakteria Wolbachia. Bakteria ini tidak membahayakan manusia tetapi dapat mengganggu kemampuan nyamuk untuk menyebarkan virus denggi.