Tempatan

KKR: Tiada Keretakan di Jejambat SPE Seperti Yang Tular di Media Sosial

Gambar tular menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya SPE. – Gambar/ X Abdul Rahman A Samad

Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keretakan yang berlaku di jejambat Lebuhraya Setiawangsa – Pantai (SPE) di Jalan Cheras, seperti yang tersebar di media sosial sejak Jumaat.

Sebaliknya KKR menjelaskan, kesan hitam yang kelihatan seperti retak itu ialah kesan sambungan sendi atau struktur pembinaan.

“Pemeriksaan segera yang dilakukan syarikat konsesi SPE, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat perunding EDP pada jam 11.30 malam tadi (Jumaat) mendapati tiada sebarang keretakan,” katanya dalam platform X di sini, pada Sabtu.

Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR) setelah pemeriksaan dilakukan, pihak perunding juga telah mengesahkan bahawa struktur portal lebuh raya tidak terjejas dan selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Syarikat Lebuhraya Malaysia (SPE) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian di kawasan yang dilaporkan mengalami keretakan.

SPE telah dibuka sepenuhnya pada 3 November yang lalu dengan laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat. Lebuhraya tersebut dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7 kilometer.

Lebuhraya ini menghubungkan beberapa lebuhraya lain termasuk Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain untuk meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.