Tempatan

Kerajaan Lancar Harga Diesel Mengikut Pasaran Semasa

Amir Hamzah menyatakan bahawa dengan penetapan harga dan subsidi yang ditujukan, Kerajaan menjangka pengurangan segera dalam kerugian aktiviti ketirisan yang boleh menghasilkan penjimatan sehingga RM4 bilion setahun. Gambar: ASTRO Awani

Harga diesel akan diubah mengikut harga pasaran semasa, bermula dari tengah malam ini (Isnin, 10 Jun) dengan harga permulaan di semua stesen minyak runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 per liter.

Harga berkenaan ialah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024, mengikut formula automatic pricing mechanism yang sedia ada.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II dalam satu sidang media khas di Putrajaya pada Ahad, mengumumkan bahawa Kerajaan akan meneruskan amalan biasa dengan mengumumkan harga RON95, RON97 dan diesel setiap Rabu.

Beliau menyatakan bahawa dengan penetapan harga dan subsidi yang dilaksanakan, Kerajaan menjangka dapat mengurangkan kerugian aktiviti ketirisan secara beransur-ansur yang dijangka dapat menjimatkan sehingga RM4 bilion setahun.

“Penjimatan diperoleh Kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan lebih banyak sumber untuk disalurkan dalam sektor kritikal lain, yang secara langsung akan tingkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan, dan pendidikan untuk anak-anak kita.

“Sekali lagi, saya ingin memohon, mengingatkan rakyat Malaysia yang layak (supaya) mohon bantuan tunai BUDI Madani. Yang memohon pada bulan Jun akan layak terima bantuan tunai untuk bulan itu, dan seterusnya. Yang terlepas, akan layak terima bantuan untuk bulan permohonan dan seterusnya,” katanya lagi.

Amir Hamzah menyatakan bahawa ketirisan subsidi diesel semakin meluas menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak mampu menanggung kerugian sebesar itu secara berterusan, padahal wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan membangunkan negara.

Menyentuh mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, Amir Hamzah berkata, Kerajaan akan menetapkan harga diesel kepada sektor yang layak seperti logistik, melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 menggunakan kaedah fleet card, dengan penetapan harga RM2.15 seliter.

Kerajaan setuju untuk meluaskan kategori tersebut kepada 23 jenis kenderaan lain termasuk yang membawa hasil pertanian, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sementara itu, bagi SKDS 1.0, harga bagi kenderaan awam seperti bas sekolah, bas ekspres, ambulans, dan kenderaan bomba kekal pada RM1.88 seliter, sementara harga bagi nelayan yang layak ialah RM1.65 seliter.

Sekiranya berlaku perubahan pada pasaran diesel, sehingga menyebabkan harga pasaran meningkat mendadak, beliau berkata, Kerajaan akan melihat cara yang terbaik untuk menstabilkan harga.

Dalam pada itu Amir Hamzah berkata, kumpulan pertama yang meliputi lebih 30,000 penerima bakal memanfaat bantuan BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM200 yang didepositkan ke dalam akaun bank mereka pada Isnin.

“Individu layak yang belum memohon BUDI Individu atau BUDI Agri-Komoditi masih boleh menerima bantuan bagi bulan Jun 2024 sekiranya mereka membuat permohonan sebelum akhir Jun 2024,” katanya lagi.

Sementera itu, Kementerian Kewangan dalam siaran media susulan berkata, Kerajaan menyarankan pemilik kenderaan diesel, petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang layak untuk memohon BUDI MADANI di pautan https://budimadani.gov.my.

Pemilik kenderaan logistik yang layak juga boleh memohon untuk mendapatkan fleet card di bawah SKDS 2.0 di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.