Tempatan

Mohd Shafie Apdal: Roboh Boleh, Tapi Jangan Bakar Rumah Bajau Laut

Pada Ahad, Shafie telah menghadiri Majlis Sambutan Lamai Kaamatan Warisan Sabah 2024 di Penampang. Gambar: ASTRO Awani

Langkah penguat kuasa merobohkan rumah yang dibina oleh masyarakat Bajau Laut di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna dianggap sebagai tindakan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan kawasan tersebut.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan membakar rumah yang sudah dirobohkan itu adalah tidak wajar.

“Itu sekiranya pihak penguat kuasa ada tanggungjawab dari segi keselamatan mereka boleh lakukan, bukan tidak boleh lakukan kerana itu bukan tempat mereka (Bajau Laut).

“Tapi, dalam pada itu, kalau mahu robohkan boleh, janganlah bakar. Mereka boleh dihalau, tiada masalah, tapi jangan bakar sebab kadang-kadang anak-anak mereka melihat,” katanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika dihubungi oleh media selepas menyertai Majlis Sambutan Lamai Kaamatan Warisan Sabah 2024 di Penampang pada Ahad.

Sementara itu, apabila diminta pendapat mengenai cadangan penempatan masyarakat Bajau Laut yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, Shafie menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian dan menyatakan bahawa hal tersebut adalah tanggungjawab sepenuhnya kerajaan negeri untuk menangani isu tersebut.

“Kita tidak boleh buat seumpama itu, terserah dengan kerajaan negeri sebab mereka yang berkuasa bukan saya dan yang merobohkan itu kerajaan negeri, bukan saya,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Christina Liew, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mengumumkan bahawa pihak berkuasa telah merobohkan 273 rumah kediaman tanpa permit di kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.