Tempatan

Wanita Warga Emas Ditemui Mati Terapung di Sungai Baron: Kes SAR Berakhir Tragis

Hari ini, seorang wanita warga emas ditemui mati terapung tanpa pakaian di tebing Sungai Baron, Sarikei. Gambar: Sinar Harian

Seorang wanita warga emas ditemui mati terapung tanpa pakaian di tepi Sungai Baron kira-kira 29 kilometer dari sini pada hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengatakan bahawa mayat Lenya Sigat berusia 62 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10.35 pagi hari ini, kira-kira 100 meter dari lokasi di mana beliau dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

“Pasukan kedua SAR yang berjalan menyusuri sungai menghala ke lokasi terakhir mangsa, telah berjaya menemukan mayat yang berada di tebingan sungai dan terapung tanpa pakaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi membawa naik mayat wanita warga emas itu dilakukan sebaik sahaja pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei selesai membuat pemeriksaan dan operasi SAR yang memasuki hari ketiga ditamatkan pada 1 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan polis, kehilangan mangsa hanya disedari apabila adik lelakinya mendapati mangsa tidak ada di rumah pada 1 tengah hari Khamis lepas.

Kemudian, adiknya memeriksa tempat mandi di anak sungai berhadapan Rumah Tury, tetapi tidak dapat menemui mangsa di sana.

Usaha awal mencari bersama penduduk kampung diteruskan dan mereka telah menjumpai sebuah tong cat berwarna putih berserta barangan seperti sabun dan pakaian milik mangsa yang hanyut kira-kira 100 meter dari lokasi tempat mandi tersebut.

Sumber: BERNAMA