Politik

Tun M Sedia Kembali ke UMNO, Namun dengan Syarat Kembali ke Prinsip Asal

Namun, menurut Dr. Mahathir, syarat untuk beliau kembali kepada UMNO adalah jika parti itu kembali memegang teguh dasar asalnya iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau bersedia untuk kembali kepada UMNO, tetapi dengan syarat bahawa UMNO harus kembali kepada prinsip asalnya, iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama.

“Saya boleh kembali kepada UMNO tapi orang yang ‘penyangak-penyangak’ semua minta maaflah, saya tak boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyertai program ‘Bersama Tun M’ yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang dianjurkan oleh Sinar Harian pada hari Rabu.

Beliau juga mengakui masih mempunyai perasaan sayang terhadap UMNO, terutama kerana pernah menjadi presiden selama 22 tahun, walaupun sayang itu tidak ditujukan kepada pemimpinnya.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk berehat daripada arena politik selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2003.

“Apabila saya letak jawatan pada tahun 2003, saya pun berharap akan dapat berehat, mungkin enjoy live sikit pergi jalan sana-sini tetapi selepas seminggu saya letak jawatan (ada) orang datang minta (tolong).

“Tun tolonglah buat sesuatu kerana mereka berpendapat bahawa yang menjadi Perdana Menteri ketika itu tidak menjalankan tugas dengan baik. Satu minggu sahaja sudah nampak berlainan keadaan (nya).

“Jadi mereka datang dan (seterusnya) rombongan demi rombongan datang minta saya buat sesuatu. Bagi saya, saya cuba nasihat (pemimpin terbabit) tapi nasihat tidak berkesan,” katanya.

Menurutnya, akhirnya beliau membuat keputusan untuk keluar dari UMNO agar lebih mudah bagi beliau untuk menegur salah laku kerajaan.

“Akhirnya saya terpaksa keluar daripada parti (UMNO) dan menentang kerajaan (UMNO ketika itu),” katanya lagi.