Tempatan

Dr. Zaliha Serahkan Kes Pegawai DBKL ke SPRM: Nilai Integriti Perlu Diutamakan

Dr. Zaliha menegaskan kepada semua kakitangan dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk sentiasa memelihara tatakelola dan integriti semasa menjalankan tugas. Gambar: BERNAMA

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa telah sepenuhnya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyelidiki dakwaan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengutip sogokan secara bulanan.

Beliau juga menegaskan kepada semua kakitangan dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk sentiasa memelihara tatakelola dan integriti semasa menjalankan tugas mereka.

“Akhirnya kita lihatlah apa siasatan SPRM nanti, tidak kira (melibatkan) kesalahan apa (sama ada) ambil insentif atau mana-mana tatakelola yang tidak bagus.


“Dalam budaya kerja, saya sering mengingatkan dan menekankan nilai integriti kerana pada akhirnya kita mahu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan memastikan tiada yang mengambil peluang, menggunakan kedudukan atau (mengamalkan) tatakelola yang tidak baik,” katanya.

Dr. Zaliha menyampaikan kenyataan tersebut kepada media selepas merasmikan Inisiatif Waste-To-Wealth Wilayah Persekutuan di Perumahan Awam (PA) Seri Pulau Pinang hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Media hari ini melaporkan bahawa SPRM telah menahan seorang pegawai kanan PBT berusia dalam lingkungan 40-an pada Khamis lepas untuk membantu dalam siasatan dakwaan mengutip sogokan bulanan daripada perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di pusat bandar raya ini.

Mengulas tentang program hari ini, Dr. Zaliha menyatakan bahawa inisiatif tersebut dilaksanakan melalui Program 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) yang berkonsepkan sistem barter. Sistem ini membolehkan komuniti menukar barang kitar semula dengan barangan keperluan dapur yang ditetapkan oleh DBKL.

“Setiap hari bandar raya ini menghasilkan 2,300 tan sisa pepejal. DBKL pula memperuntukkan RM260 juta setahun untuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, dan ini bukan nilai yang sedikit.

“Oleh itu, inisiatif ini diharap mengubah persepsi masyarakat iaitu sampah sebagai sumber tak berguna, sebaliknya boleh mendatangkan keuntungan dan manfaat jika diuruskan bersama dengan baik,” katanya.

Dr. Zaliha menyatakan bahawa terdapat empat kios 1C1R yang telah dibangunkan di sekitar Kuala Lumpur, iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin, PA Seksyen 2 Wangsa Maju, PPR Seri Alam dan PA Seri Kota.

Beliau juga mengumumkan bahawa empat kios lagi akan dibangunkan, iaitu di PA Seri Pulau Pinang, PPR Pinggiran Bukit Jalil, PPR Kerinchi dan PPR Muhibbah.

Sumber: BERNAMA