Ekonomi

ByteDance Cadang Labur RM10 Bilion, Malaysia Bakal Jadi Hab AI Utama di Asia Tenggara

Tengku Zafrul (empat, kiri) berkata perkara itu dimaklumkan ketika pertemuan beliau dengan Naib Presiden TikTok Helena Lersch di Singapura, hari ini. Gambar: X @tzafrul_aziz

ByteDance, pemilik TikTok merancang untuk melakukan pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan mengusulkan agar Malaysia menjadi hab AI utama di rantau ini dengan cadangan pelaburan sekitar RM10 bilion.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyampaikan maklumat tersebut melalui satu hantaran di platform laman web X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter).

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu telah didedahkan semasa pertemuan beliau dengan Naib Presiden TikTok, Helena Lersch di Singapura pada hari ini.

“Pelaburan tambahan ByteDance ini sudah pasti akan membantu Malaysia mencapai sasaran untuk mengembangkan ekonomi digital kepada 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025,” katanya.

Sehingga kini, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa TikTok, melalui ByteDance System telah membangunkan sebuah pusat data di Sedenak Tech Park, Kulai, Johor.

Beliau menjelaskan bahawa dengan mengambil kira keperluan masa depan, syarikat tersebut juga bercadang untuk memperluaskan fasiliti pusat data tersebut dengan pelaburan tambahan sebanyak RM1.5 bilion.