Jenayah

EDAR LEBIH 77 KG SYABU, PENIAGA DIPENJARA 30 TAHUN DAN 24 SEBATAN

Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar lebih 77 kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Wan Wah, 45, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah turut mengambil kira kuantiti dadah yang besar serta penemuannya di dalam ruang khas sebuah kenderaan.

Bagi pertuduhan pertama, Liew didakwa mengedar 74,477.8 gram syabu di Plaza Tol Gopeng, Kampar pada 23 Jun 2021. Dia turut didakwa mengedar 3,267 gram dadah sama di kawasan parkir Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar pada awal pagi keesokan harinya.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan kedua-dua tempoh penjara berjalan serentak. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.