Tempatan

MCMC Kompaun Tiga Individu RM25,000 Akibat Komen Lucah di Media Sosial

MCMC memaklumkan bahawa siasatan mendapati kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu di platform media sosial tersebut mengandungi komen lucah yang ditujukan kepada bayi seorang doktor.

Tiga individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik komen lucah melalui aplikasi media sosial Facebook, menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Hasil siasatan MCMC mendapati kandungan yang dimuat naik oleh ketiga-tiga individu tersebut melibatkan komen lucah yang ditujukan kepada bayi seorang doktor.

“Penggunaan perkataan lucah tersebut ditulis di ruangan komen sebuah portal hiburan yang menerbitkan satu artikel berkenaan amalan khatan bayi perempuan di United Kingdom,” kata MCMC.

Sebagai makluman, Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengeluarkan kata-kata jelik dan menjijikkan atau dalam kes ini, kata-kata yang bersifat seksual mengenai alat sulit bayi perempuan adalah tindakan tidak bermoral dan melanggar undang-undang.

Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan, terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

Suruhanjaya tersebut menegaskan bahawa mereka akan terus komited dalam usaha meningkatkan kesedaran untuk melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam salah laku terhadap kanak-kanak.