Kementerian Dalam Negeri menerima maklum balas positif setelah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai kewarganegaraan kepada Majlis Raja-Raja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata masih terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
“Proses untuk membentang pindaan Perlembagaan di bawah tajuk warganegara diteruskan. Hari ini, KDN dijemput membentangkannya kepada Majlis Raja-Raja tetapi ia perlu memperhalusi beberapa perkara bersama SUHAKAM.
“Hasilnya sangat positif. Saya tidak boleh sebut lebih daripada itu sebab Majlis Raja-Raja akan menyusul dengan minit mesyuarat secara rasmi (kemudian) barulah saya akan buat pengumuman seterusnya,” kata beliau kepada pemberita selepas sesi penyerahan surat keputusan kewarganegaraan di Flat Sri Kelantan di Sentul hari ini.
Pada sesi itu, Muhammad Danish Haiqal Abdul Rahman, 10, menerima surat pengesahan yang disampaikan oleh Saifuddin selepas permohonan ibu angkatnya, Azlina Hamzah, diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pada Jun lepas.
Pada 24 Mac lalu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat bertujuan menurunkan had umur permohonan kewarganegaraan daripada 21 kepada 18 tahun.
Pindaan ini adalah untuk menyelaraskan umur mengundi di Malaysia serta takrif kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 dan umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971.
Pindaan tersebut juga melibatkan perubahan pada Fasal (2) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan dan beberapa peruntukan lain dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.
Saifuddin berkata beliau telah meneliti cadangan balas berhubung rang undang-undang tersebut yang disediakan oleh Gabungan Hak Kewarganegaraan Malaysia dan memberikan penjelasan serta justifikasi pindaan dalam pertemuan dengan mereka pada Selasa lepas.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SUHAKAM, Datuk Hishammuddin Yunus pada Rabu lepas untuk menerangkan setiap butiran cadangan pindaan serta mendengar pandangan balas.
“Antara persetujuan kami adalah berkaitan permohonan warganegara iaitu KDN perlu adakan satu prosedur operasi standard,” katanya.