
Malaysia dan China telah sepakat untuk menyelesaikan perselisihan di Laut China Selatan dengan cara yang aman melalui perundingan yang mesra serta menekankan pentingnya menjaga keamanan, keselamatan dan kestabilan di kawasan tersebut.
Melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua negara menegaskan perlunya rundingan dilaksanakan mengikut prinsip-prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara umum termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.
“Kedua-dua pihak akan melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim secepat mungkin bagi mewujudkan dialog dan kerjasama maritim.
“Kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk melaksanakan sepenuhnya dan secara berkesan mengenai Deklarasi Perilaku Pihak-pihak (DOC) di Laut China Selatan dan menantikan kesimpulan awal Kod Tatakelakuan (CoC) di Laut Laut China Selatan,” kata kenyataan bersama itu pada Khamis.
Code of Conduct (CoC) bertujuan untuk membina kerjasama yang kukuh demi mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan di mana China dan beberapa negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina menghadapi pertikaian wilayah dan tuntutan yang bertindih.
Mengulas lanjut, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa China dan Malaysia mempunyai kepentingan bersama yang luas serta pendirian dan cadangan yang serupa dalam hal ehwal antarabangsa.
Selain itu, kedua-dua pihak menegaskan komitmen terhadap tujuan dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bersama-sama menegakkan sistem antarabangsa dengan PBB sebagai terasnya.
Malaysia dan China juga akan mempertahankan perpaduan dan kerjasama masyarakat antarabangsa serta melindungi keadilan antarabangsa, selain mempromosikan nilai kemanusiaan iaitu keamanan, pembangunan, kesaksamaan, keadilan, demokrasi serta kebebasan.
Dalam perkembangan sama, Kuala Lumpur-Beijing berhasrat mempercepatkan penyelesaian Rundingan Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0.
“Malaysia dan China akan mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat China-ASEAN 2024 bagi meningkatkan pembinaan negara yang aman, selamat dan terjamin.
“Dalam masa sama, menambah dorongan untuk memperdalam Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China, dan bersama-sama membina hubungan Komuniti ASEAN-China yang lebih erat dengan masa depan yang dikongsi bersama,” kata kenyataan bersama itu lagi.
Di samping itu, China menyambut baik Malaysia untuk memainkan peranan sebagai penyelaras negara untuk Hubungan Dialog ASEAN-China pada tahun 2024 dan menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan sempena lawatan kerja Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia selama tiga hari yang bermula pada 18 Jun yang lalu. Lawatan tersebut bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Pada tahun 2023, China terus menjadi rakan perdagangan Malaysia yang terbesar selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009 dengan jumlah dagangan mencapai RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
