Pasukan Harimau Malaya telah naik tiga anak tangga ke tempat ke-135 dunia dalam kemas kini terbaru ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.
Di bawah pengurusan Kim Pan Gon, pasukan kebangsaan ini meraih penambahan 13.04 mata, menjadikan jumlah mereka sebanyak 1,107.58 mata. Ini menandakan peningkatan dari kedudukan sebelumnya di tempat ke-138 dunia sejak 4 April yang lalu.
Peningkatan terkini itu dicapai susulan pencapaian Malaysia dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dan mengatasi Taiwan 3-1, awal bulan ini.
Sementara itu, Thailand melangkah ke dalam kelompok 100 terbaik dunia selepas beralih satu langkah daripada kedudukan ke-101, diikuti Vietnam yang turun satu anak tangga kepada 118 manakala Indonesia kekal di tempat ke-134 untuk berada dalam kalangan tiga pasukan terbaik Asia Tenggara.
Juara Piala Dunia 2022, Argentina, Perancis dan Belgium mengekalkan kedudukan tiga teratas manakala Brazil memintas England untuk tempat keempat.
Sumber: BERNAMA