Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati bakal calon yang berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap supaya mengemukakan borang permohonan dan membuat semakan awal di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ia bagi melancarkan proses penamaan calon yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi di sini yang bermula 9 pagi hingga 10 pagi bagi penyerahan kertas penamaan calon.
“Kertas penamaan calon boleh diserahkan oleh calon, pencadang dan penyokong ataumana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka dalam tempoh sejam yang ditetapkan pada hari Sabtu nanti.
“Selain itu, bakal-bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon nanti sebagai bukti pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan kertaspenamaan calon itu nanti.
Ikmalrudin menyatakan bahawa setiap bakal calon hanya boleh ditemani oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong sahaja ketika memasuki pusat penamaan calon.
Beliau menegaskan bahawa penggunaan segala jenis alat muzik atau peranti pembesar suara untuk tujuan kempen politik melalui apa jua cara, termasuk menggunakan mana-mana jenis kenderaan, adalah dilarang pada hari penamaan calon dan ini merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].
“Orang awam dan penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata bagi calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 5, adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.
Menurutnya, SPR menyeru bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik serta lancar.
SPR menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Sumber: BERNAMA