Sukan

Johnathan Wong Terkandas di Pusingan Kelayakan Olimpik Paris 2024

Johnathan Wong mengakhiri pusingan kelayakan di tempat ke-26 daripada 33 penembak dengan jumlah 570 mata.

Hasrat penembak negara, Johnathan Wong untuk mara ke pusingan akhir acara 10 meter (m) air pistol lelaki di Olimpik Paris 2024 tidak tercapai apabila terkandas di pusingan kelayakan hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Pusat Menembak Chateauroux, atlet berusia 31 tahun itu menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan ke-26 daripada 33 penembak selepas mengumpul 570 mata.

Atlet Serbia, Damir Mikec mengungguli pusingan kelayakan dengan meraih 584 mata.

Mengikut format pertandingan, hanya lapan penembak terbaik sahaja yang akan bersaing di pusingan akhir yang berlangsung esok.

Untuk rekod, ini merupakan penampilan kedua beliau di temasya Olimpik selepas Rio 2016, di mana beliau mendapat tempat ke-28 dalam acara 10m air pistol dan ke-37 dalam acara 50m pistol.

Johnathan juga mengakui berasa kecewa kerana gagal membidik dengan lebih tepat hari ini.

“Kalau tengok pemarkahan (scoring) agak kurang memuaskan sebab sebenarnya sebelum datang ke sini kami sasarkan (mata) lebih tinggi.

“Apa pun kita sudah buat persiapan yang terbaik berbanding sebelum ini (edisi Rio 2016),” katanya selepas pusingan kelayakan.