Tempatan

Projek RM316 Juta Untuk Lindungi 45,000 Penduduk Pantai Sarawak

Fadillah berkata projek tersebut juga akan memberi manfaat kepada 6,000 hektar kawasan pertanian dan 300 hektar kawasan industri.

Projek Mengatasi Banjir Pantai Negeri Sarawak yang telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM316 juta, dijangka mampu melindungi sekitar 45,000 penduduk di kawasan pesisir pantai daripada banjir dan hakisan pantai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan bahawa projek ini juga akan memberi manfaat kepada 6,000 hektar kawasan agrikultur dan 300 hektar kawasan industri.

“Penetapan pakej projek mengikut lokasi akan ditentukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebelum proses perolehan dimulakan dan dijangka mula dilaksanakan pada 2025 yang melibatkan pelaksanaan kerja-kerja perlindungan di persisiran pantai sepanjang 40 kilometer (km),” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita semasa Lawatan Projek Persekutuan dan Majlis Penyerahan Projek-Projek Siap JPS kepada Kerajaan Sarawak di Lutong hari ini.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu juga memaklumkan bahawa projek tersebut melibatkan 17 lokasi iaitu Kampung Siru Melayu dan Rambungan Stoh di Bahagian Kuching, Pantai Kampung Semarang, Rumah Ek-Rumah Betty, Pantai Kampung Beting Maro dan Pantai Maludam di Bahagian Betong, serta Jalan Mukah-Oya (Kampung Judan), Kampung Baru Rajang, Kampung Tekajong dan Sebako Sedi di Bahagian Mukah.

Ia juga melibatkan kawasan Pantai Sungai Bangat (Bahagian Limbang), Pantai Lutong, Bungai Bekenu, Peliau Bungai, Kampung Kuala Sibuti dan Pantai Bakam (Bahagian Miri) serta satu lokasi projek di Bahagian Samarahan dan Kampung Seberang Sebuyau, Daerah Sebuyau.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa prihatin dan cakna dalam memastikan kelestarian pelaksanaan projek kerajaan untuk memastikan impak yang maksimum demi kesejahteraan rakyat dan merangsangkan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa projek tersebut dijangka dapat meningkatkan semula aktiviti sosioekonomi serta menjamin kelangsungan perhubungan penduduk setempat, selain mengurangkan kerugian harta benda, kemudahan awam dan kehilangan nyawa akibat banjir.

Fadillah menyatakan bahawa di bawah peruntukan pembangunan hingga Rancangan Boleh Pinda Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan 46 projek berkaitan sumber air.

Projek-projek ini melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bekalan air menerusi Bahagian Bekalan Air (BBA) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) untuk dilaksanakan di Sarawak dengan kos keseluruhan RM6 bilion.

Beliau juga berkata jumlah peruntukan yang diluluskan bagi tempoh pelaksanaan di bawah RP4 RMK12 pada 2024 untuk Sarawak sahaja adalah RM299 juta.

“Pecahan mengikut jabatan adalah JPS sebanyak 21 projek dengan peruntukan RM78 juta secara geran langsung, BBA (13 projek) dengan peruntukan RM140.8 juta secara pinjaman dan JPP (12 projek) dengan peruntukan RM80 juta secara pinjaman,” kata beliau.

Fadillah bersama Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, turut meluangkan masa untuk memantau Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri. Projek RTB ini bernilai RM25.6 juta dan melibatkan kawasan seluas 1,100 hektar, telah dimulakan sejak Oktober lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2025. Projek ini diharapkan dapat melindungi kira-kira 12,000 penduduk di kawasan sekitar daripada risiko bencana banjir.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan penyerahan lima projek siap yang dilaksanakan oleh PETRA melalui JPS, yang bernilai RM52 juta kepada kerajaan Sarawak.

Projek-projek yang terlibat termasuk tiga RTB dan dua Projek Hakisan Pantai iaitu RTB Kawasan Penempatan Semula Kampung Bako, Kuching; RTB Kampung Sebemban Lembangan Batang Sadong; RTB Bintulu, Lembangan Sungai Kemena; Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Kuala Hilir Oya, Bahagian Mukah; dan Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai bagi Negeri Sarawak – Kerja-Kerja Pemuliharaan Muara Sungai Sematan, Kuching.

Dengan siapnya tiga RTB tersebut, kira-kira 3,500 penduduk di kawasan terlibat akan dilindungi daripada risiko banjir manakala pelaksanaan dua projek hakisan pantai tersebut akan memberi manfaat kepada hampir 11,000 penduduk dan nelayan daripada risiko banjir dan hakisan pantai.