Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun hadapan akan memperkenalkan Konsep Komuniti ASEAN 2025-2045 untuk memajukan kerjasama antara negara-negara serantau dalam pelbagai aspek.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Konsep Komuniti ASEAN adalah visi 20 tahun untuk komuniti negara-negara ASEAN.
Menurut beliau, proses penyediaan Draf Komuniti ASEAN kini berada di peringkat akhir dan satu mesyuarat peringkat Jawatankuasa akan diadakan pada penghujung bulan ini di Melaka.
“Kita berharap akan dapat selesaikan draf dan untuk kita tandatangani pada awal tahun depan. Kita akan memanggil satu mesyuarat peringkat jawatankuasa pegawai hujung bulan ini di Melaka, Malaysia untuk kita selesaikan perkara-perkara yang tidak banyak lagi yang nak dipersetujui,” katanya kepada media Malaysia di sini Khamis.
Beliau menyatakan bahawa matlamat Konsep Komuniti ASEAN adalah untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah komuniti yang besar, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam aspek pembahagian tenaga, kesalinghubungan, infrastruktur dan lain-lain.
Beliau juga menjelaskan bahawa ASEAN berpotensi menjadi blok penting dalam sistem ekonomi global dengan pelbagai kelebihan yang dimiliki oleh setiap negara anggota.
“Dengan penduduk lebih 600 juta berserta nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kelima terbesar dan bakal menjadi keempat terbesar dunia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, ini merupakan asas untuk kita bina masa depan,” katanya.
Selain itu, Mohamad berkata beliau telah mencadangkan kepada semua negara anggota ASEAN supaya Timor-Leste dipertimbangkan untuk menjadi anggota selepas memenuhi 25 peratus daripada 84 kriteria untuk menyertai ASEAN.
Beliau juga memaklumkan bahawa Timor-Leste kini menghadiri mesyuarat peringkat ASEAN sebagai negara pemerhati setelah memohon untuk menjadi anggota ASEAN.
“Dalam sesi pleno Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-57 (AMM ke-57), saya telah mencadangkan supaya jika nak tunggu sehingga 84 perkara dipenuhi oleh Timor Leste, ia akan memakan masa bertahun tahun, jadi saya bagi pihak Malaysia, kita mencadangkan kepada rakan-rakan ASEAN, jika boleh Timor Leste ini memenuhi 25 peratus dahulu daripada 84 perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata bahawa perkara ini akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa dan Malaysia sedia membantu untuk memastikan Timor-Leste dapat segera menjadi anggota ASEAN. Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN adalah satu proses yang bermula selepas negara itu mencapai kemerdekaan pada tahun 2002.
Timor-Leste diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada tahun 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.
Pada tahun 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja secara dasarnya bersetuju agar Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.
Pemimpin ASEAN juga memberi status pemerhati kepada Timor-Leste untuk mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.