
Kementerian Kesihatan (KKM) telah membelanjakan RM248.97 juta untuk perkhidmatan luar (outsource) bagi 93,495 pesakit jantung kepada Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJNSB) dari Januari tahun ini hingga 31 Mei lepas.
KKM melalui jawapan lisan di Dewan Negara yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen telah menyatakan bahawa perbelanjaan ini melibatkan pesakit jantung dari kalangan kakitangan kerajaan, pesara Persekutuan serta pesakit kurang mampu.
“Bagi 2023, jumlah bilangan lawatan pesakit jantung di IJNSB adalah 233,885 dan perbelanjaan kerajaan dalam menanggung kos rawatan adalah RM606.52 juta,” kata KKM dalam jawapan lisan bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu jumlah pesakit jantung seluruh negara dan jumlah tanggungan kos ubatan, rawatan dan perkhidmatan pakar bagi tahun lepas dan tahun ini.
Sementara itu, menjawab soalan Senator Dr A Lingeshwaran mengenai bilangan jururawat dan jururawat masyarakat yang meletak jawatan atau bersara dari tahun 2014 hingga 2023, KKM melaporkan jumlah tersebut adalah sebanyak 5,778 orang.
Ini termasuk jururawat Gred U29 (2,284 orang), Gred U32 (2,102 orang), Gred U36 (462 orang) dan Gred U41 hingga U54 (161 orang) serta jururawat masyarakat dari Gred U24 dan U26 (393 orang) dan Gred U19 (376 orang). Persidangan Dewan Negara akan disambung semula pada hari Isnin depan.
