Tempatan

Tun Mohd Ali Rustam Dilantik Sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 pada Penggal Kedua

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Mohd Ali Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka hari ini. Gambar: Bernama

Tun Mohd Ali Rustam hari ini menjunjung kasih dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7, bagi penggal kedua.

“Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di atas sokongan beliau kepada saya untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua.

“Juga kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka,” katanya ketika berucap sempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada 28 Mei, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka untuk penggal kedua yang akan berkuatkuasa mulai 4 Jun 2024.

Hari ini, Mohd Ali telah mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 untuk penggal kedua, dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Salhah Salleh.

Mengingati pelantikannya pada 5 Jun 2020, Mohd Ali menyatakan bahawa pelbagai cabaran dan ketidaktentuan telah dihadapi, terutamanya serangan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada kehidupan sosial dan ekonomi negara serta dunia.

Namun, beliau menjelaskan bahawa kerajaan telah mengambil langkah-langkah berkesan untuk mempertahankan kedudukan ekonomi dan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Ekonomi Melaka merekodkan pemulihan pada 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus berbanding negatif 5.9 peratus pada 2020. Terkini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.6 peratus.

“Kesiapsiagaan kerajaan yang efektif dalam menangani krisis global membuka ruang kepada landasan pemulihan ekonomi yang pantas,” katanya.

Mohd Ali juga memberikan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan menerima pelaburan langsung luar negara (FDI) dan domestik sebanyak RM6 bilion pada tahun 2023.

“Saya difahamkan inisiatif Melaka Industrial Booster telah dilaksanakan dan ia dapat memudahkan pelabur seperti mempercepatkan proses permohonan kelulusan pelan kemajuan di peringkat pihak berkuasa tempatan, daripada 180 hari kepada 30 hari sahaja.

“Saya juga berharap kawasan perindustrian baharu yang akan dibangunkan perlulah dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain yang komprehensif, bagi menarik lebih banyak pelabur untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka,” katanya.

Sumber: Bernama