Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga elektrik, tenaga boleh baharu serta pembangunan Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon di Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, kerjasama ini meliputi pembangunan, penyelenggaraan, penyelidikan, dan latihan berkaitan tenaga boleh baharu, termasuk pembangunan solar bumbung, kenderaan elektrik dan infrastrukturnya, tenaga berkaitan infrastruktur awam serta menjadikan Putrajaya sebagai lokasi makmal hidup untuk teknologi berkaitan tenaga.
“Kerjasama ini menyokong usaha kerajaan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) serta beberapa pelaksanaan di Putrajaya termasuk Pelan Tindakan Bandar Pintar Putrajaya (2018-2025) dan Pelan Hala Tuju Putrajaya Bandar Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU dan SARE tersebut di sini hari ini. Turut hadir Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman. Menurutnya, kerjasama ini berpotensi membawa penjimatan sebanyak RM2.5 juta kepada PPj dalam tempoh 20 tahun.
Selain itu, Dr. Zaliha berkata MoU tersebut juga selari dengan visi ‘C.H.A.S.E City’ (bandar bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam) yang digagaskan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
Sebagai permulaan program SARE, TNB melalui anak syarikatnya GSPARX akan memasang sistem solar berkapasiti 363 kilowatt (kWp) di Kompleks PPj dan lapan lagi bangunan utama termasuk Taman Ekuestrian Putrajaya dan Kelab Tasik Putrajaya yang dijangka siap pada awal tahun depan.
Beliau juga menyatakan bahawa GSPARX akan menawarkan promosi khas solar kepada 200 kediaman warga Putrajaya yang ingin menggunakan tenaga hijau sambil menikmati penjimatan bil elektrik. Promosi ini akan berlangsung selama dua bulan bermula 1 Jun hingga 31 Julai melalui tiga kaedah permohonan iaitu secara fizikal di Kedai Tenaga Putrajaya, melalui telefon di talian 0103376769/01136463837 atau emel di [email protected].
Dr. Zaliha turut menyatakan bahawa MoU ini akan menyaksikan beberapa inisiatif ke arah tenaga hijau, termasuk pemasangan 28,000 tiang lampu diod pemancar cahaya (LED) di sekitar Putrajaya dan 500 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 daripada 18 stesen yang ada setakat ini.
Sumber: Bernama