Global

Lebih 15,000 Kanak-Kanak Palestin Terbunuh dalam Serangan Israel

Lebih daripada 15,000 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak Israel mula menyerang Semenanjung Gaza. Gambar: AFP

Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa lebih daripada 15,000 kanak-kanak Palestin telah terbunuh sejak Israel mula menyerang Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA). Majoriti daripada mereka adalah pelajar sekolah dan murid tadika, selain daripada 64 pelajar dari sekolah di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis.

Dalam kenyataan sempena “International Day of Innocent Child Victims of Aggression” yang jatuh pada 4 Jun, kementerian itu menyatakan bahawa tema yang paling menonjol untuk hari ini adalah “Kanak-kanak Gaza” kerana mereka merupakan mangsa terbesar dalam serangan sejak 7 Oktober.

Serangan Israel telah memusnahkan sekolah dan tadika, serta secara khusus menyasarkan orang awam termasuk kanak-kanak, membunuh mereka, memaksa mereka meninggalkan rumah, menahan mereka, membiarkan mereka tanpa makanan dan perkhidmatan kesihatan, serta melakukan pencabulan serius lain yang melampaui norma, piagam dan sistem hak asasi manusia.

Kementerian itu menyatakan sejak permulaan serangan di Semenanjung Gaza, 620,000 pelajar tidak dapat bersekolah, 88,000 penuntut tidak dapat menghadiri universiti, sementara kebanyakan mereka mengalami trauma psikologi dan masalah kesihatan yang serius.

Kementerian itu menggesa organisasi dan institusi antarabangsa untuk mempertahankan kanak-kanak dan hak mereka untuk mendapat pendidikan, bagi menghentikan peningkatan pencabulan dan jenayah yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap murid-murid.

Kementerian itu juga menyeru campur tangan segera untuk menghentikan serangan ke atas Gaza serta serangan tentera dan peneroka di Tebing Barat.

Sumber: Bernama/WAFA