CYBERJAYA: Tiga individu, termasuk seorang wanita hamil, maut selepas kereta dinaiki terbabas berhampiran IOI Putrajaya pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, memaklumkan bahawa kejadian itu dilaporkan pada jam 12.10 tengah malam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya segera dikerahkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, empat mangsa terlibat adalah warga tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita hamil, yang menaiki kereta jenis Perodua Viva.
“Kenderaan tersebut dipercayai terbabas sendiri,” katanya.
Beliau menambah, seorang wanita mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan. Namun, tiga lagi mangsa, iaitu dua lelaki dan seorang wanita hamil, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Semua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.