Tempatan

TIGA SEKELUARGA MAUT DIREMPUH LORI IMIGRESEN DI KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, kira-kira jam 1 pagi.

Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 53 tahun dan dua anak perempuannya masing-masing berumur 25 serta 12 tahun. Isteri lelaki itu yang berusia 55 tahun mengalami kecederaan pada kepala, tangan dan kedua-dua kaki sebelum dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati lori terbabit memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan lampu suar dan siren diaktifkan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga. Lori itu kemudian hilang kawalan lalu merempuh keluarga berkenaan serta sebuah Inokom Matrix.

Pemandu lori Imigresen dan Proton Saga ditahan bagi membantu siasatan, manakala ujian alkohol serta saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif. Polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup, mendapatkan keterangan saksi dan memeriksa kenderaan yang terlibat.