Ekonomi

KERAJAAN KOMITED MELUNASKAN SETIAP HUTANG

Kerajaan sentiasa memastikan setiap hutang yang dibuat dilunaskan, termasuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan bil perbendaharaan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kebimbangan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mengenai kemampuan kerajaan memenuhi komitmen jaminan sukuk yang diterbitkan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Menurut Amir Hamzah, sukuk bon kupon sifar Tabung Haji telah distruktur semula kepada sukuk dengan agihan keuntungan tahunan. Langkah itu bertujuan memenuhi obligasi pembayaran sukuk UJSB bernilai RM27.5 bilion serta memastikan pulangan lebih baik kepada Tabung Haji.

Penstrukturan tersebut membolehkan sukuk pertama dan kedua memberikan pulangan tahunan sebanyak 3.86 peratus, mengatasi pulangan sekuriti kerajaan sekitar 3.6 peratus. Sukuk ketiga pula memberikan Tabung Haji pulangan kira-kira RM440 juta setahun.