KUALA LUMPUR: Istiadat perkahwinan diraja antara Putera Diraja Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar, anakanda Sultan Pahang, dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, akan diadakan pada 24, 25, dan 27 Oktober ini. Berita gembira ini diumumkan melalui laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang pada Isnin.
Majlis perkahwinan ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang, yang sekali lagi akan berseri dengan suasana istiadat selepas perkahwinan Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar.
Sebagai pembuka istiadat, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal yang diadakan di Taman Duta, Kuala Lumpur, pada Ahad, 6 Oktober. Pada hari yang sama, Majlis Siraman turut diadakan, bersama dengan Majlis Khatam Al-Quran untuk Tengku Natasya Puteri.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta beberapa anggota kerabat diraja turut hadir dalam majlis tersebut.
Berikut adalah latar belakang pasangan diraja yang bakal disatukan di Istana Abdulaziz pada akhir Oktober ini:
Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah:
- Lahir pada 3 Ogos 1997 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.
- Anak ketiga daripada sembilan adik-beradik.
- Merupakan pewaris takhta kedua Kerajaan Negeri Pahang, selepas abangnya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang merupakan Tengku Mahkota dan Pemangku Raja Pahang.
- Usia Tengku Muhammad dan Tengku Hassanal hanya berbeza dua tahun.
- Aktif dalam pelbagai sukan, termasuk bola sepak, polo, dan golf.
Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan:
- Anak kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
- Dilahirkan pada tahun 1995 dan berdarah campuran Melayu dan Indonesia.
- Mempunyai lima adik-beradik, iaitu Tengku Iqbal, Tengku Hafiz, Tengku Najwa, dan Tengku Nabila.
- Ibunya, Datin Seri Utama Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini, adalah seorang pelakon terkenal dari Indonesia yang popular dalam dunia perfileman pada tahun 1980-an.
- Tengku Adnan juga mempunyai anak-anak dari perkahwinan sebelumnya, iaitu Tengku Daud, Tengku Balqish, Tengku Yazir, dan Tengku Nadiah.
Istiadat ini dijangka menjadi salah satu perkahwinan diraja yang dinanti-nantikan pada bulan Oktober.