Kesihatan

Tan Sri Mohd Zuki Ali: Program Aktiviti Sihat Penting Untuk Kurangkan Obesiti Penjawat Awam

Para peserta memulakan Larian MAPPA XIX 2024 dengan penuh semangat dan kegembiraan di Dataran Putrajaya.

Aktiviti sihat perlu dipergiatkan dalam perkhidmatan awam, sama ada di peringkat agensi, kementerian atau individu, memandangkan ramai penjawat awam menghadapi masalah obesiti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata langkah ini penting kerana masalah obesiti dalam kalangan rakyat melebihi 50 peratus dan kebanyakannya melibatkan penjawat awam di Putrajaya.

“Jadi, penting untuk mereka ini terbabit dalam aktiviti sihat termasuk program larian sebagai permulaan menggalakkan mereka (hidup sihat),” katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut kepada pemberita selepas program Hari Bebas Kenderaan (CFD) Putrajaya dan larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) XIX 2024 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengenai sambutan Hari Kebangsaan, Mohd Zuki berkata semua jabatan dan agensi diminta menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan ini.

“Bermula 1 (Ogos) kebanyakan kementerian dan agensi telah mengambil inisiatif menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

“Selain mengibarkan Jalur Gemilang, mereka juga mengadakan program lain seperti bacaan puisi dan aktiviti bersifat patriotik,” katanya.

Pada 21 Julai lalu, dalam majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024, Anwar mengarahkan semua pihak termasuk sektor awam dan swasta untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda taat setia, pengorbanan dan untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan yang telah diperoleh negara selama 67 tahun.

Sementara itu, program CFD kembali dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) pada minggu keempat setiap bulan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.

Program ini bertujuan memberi peluang kepada penduduk setempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti riadah sihat seperti berjalan kaki dan berbasikal.

Semasa tempoh CFD, jalan akan ditutup sepenuhnya di Dataran Putrajaya dari Persimpangan Menara Prisma ke Persimpangan Menara Tulus.