Tempatan

Himpunan Pembebasan Palestin: PM Anwar Seru Rakyat Malaysia Turut Serta

Antara program yang dirancang termasuk Pidato Solidariti Palestin, solat Maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk turut serta dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil esok sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

“Insya-Allah esok kita bersama-sama nyatakan solidariti, sokongan dan dukungan berterusan kepada rakyat Palestin. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!” katanya dalam hantaran Facebook.

Dijadualkan bermula pada pukul 6 petang, himpunan ini bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengecam pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh serta menentang kekejaman rejim Zionis yang berterusan.

Perdana Menteri dijangka akan menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan tersebut untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain.

Program yang dirancang termasuk Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebelum ini menyatakan bahawa kira-kira 20,000 orang dijangka hadir di stadium untuk menunjukkan sokongan mereka kepada rakyat Palestin.