Pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim yang masih dalam proses pemulihan selepas menjadi mangsa simbahan asid, muncul dalam sesi pemanas badan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025.
Selangor dijadualkan menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 selepas tewas 2-3 dalam perlawanan pertama.
Sejurus memasuki padang bersama pasukan, pemain utama skuad Harimau Malaya berusia 26 tahun itu bersujud di tepi padang sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh daripada ribuan penonton yang membanjiri Stadium MBPJ.
Faisal yang lebih mesra dikenali sebagai Mickey turut kelihatan memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai untuk melindungi bekas luka simbahan asid yang masih dalam proses penyembuhan.
Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lepas itu berada dalam senarai pemain simpanan pasukan pada perlawanan malam ini, sekali gus berpeluang membuat penampilan pertama selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Mei lepas.
Susulan insiden di sebuah pusat beli-belah, beliau mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.