Meta Platforms Inc (Meta) telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa siaran langsung Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil esok tidak akan diturunkan menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata jaminan tersebut diberikan oleh pegawai tertinggi Meta untuk memastikan siaran langsung berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan, bukan sahaja di platform media sosial pemimpin negara tetapi juga oleh pihak media.
“Saya telah memberi penegasan dan amaran kepada pasukan Meta bahawa malam esok kita akan ada acara ini Himpunan Pembebasan Palestin, akan ada siaran secara langsung dan minta supaya mereka berikan kerjasama.
“Saya nak lihat mereka menterjemah untuk walk the talk dengan memastikan siaran bukan hanya di Facebook Perdana Menteri, tapi juga dalam kalangan rakan-rakan media tidak diganggu selama perhimpunan itu berjalan,” katanya.
Beliau berharap dengan jaminan itu, isu penurunan siaran langsung perhimpunan serupa yang dijalankan pada tahun lepas tidak berulang.
“Saya telah bercakap dengan pihak Meta dan memberi penegasan kita tidak (mahu) lihat perkara ini berlaku seperti sebelum ini,” katanya.
Selain itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pihak Meta akan memberikan penjelasan mengenai isu penurunan hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, di platform media sosial dalam satu pertemuan pada Isnin ini.
Beliau berharap pertemuan itu akan berjalan dengan lancar kerana beliau tidak mahu sebarang gangguan berlaku pada siaran langsung, termasuk di Facebook, TikTok dan platform media sosial lain terutamanya yang berkaitan dengan Palestin.
“Ini kerana pihak Meta telah memaklumkan bagi ketua negara atau ketua kerajaan, menteri-menteri atau pegawai-pegawai memang diberikan satu pertimbangan yang khas bila membincangkan soal Palestin,” katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, Fahmi menyatakan rasa kesal kerajaan terhadap tindakan penurunan hantaran Perdana Menteri mengenai pembunuhan Haniyeh oleh pihak Meta dan telah memohon penjelasan mengenai isu tersebut.
Berhubung dengan perhimpunan yang akan bermula pada pukul 6 petang esok dan dihadiri oleh Anwar, Fahmi berkata kira-kira 20,000 orang dijangka akan hadir ke stadium tersebut.