Ekonomi

Kesepakatan Malaysia-Thailand: Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang sebagai Langkah Pertumbuhan Ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang media di Kompleks Apam Putra, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa kesepakatan Malaysia dan Thailand, termasuk pembinaan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang telah menunjukkan jelas hasrat kedua-dua negara untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi kawasan tersebut.

Beliau juga menambah bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk memfokuskan kepada pelaksanaan beberapa projek utama yang telah lama tertangguh dengan beberapa di antaranya telah mengambil masa puluhan tahun kerana ia akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Pertemuan tadi kita minta (pembinaan projek jambatan kedua) disegerakan dan jadi keutamaan projek kerjasama antara Thailand dan Malaysia, untuk beri gambaran positif tentang peningkatan kerjasama dari segi peningkatan ekonomi untuk Narathiwat (selatan Thailand) dan utara Kelantan.

“Sementara jambatan siap, kita (Malaysia) juga harus mengadakan beberapa projek pembangunan daripada sudut peluang-peluang perniagaan, gerai dan warung serta tempat perniagaan yang lebih baik di kawasan berdekatan jambatan, supaya ia tidak hanya jambatan tetapi juga rangkaian perniagaan di sebelah Kelantan,” kata beliau.

Anwar menyatakan perkara ini semasa sidang media selepas lawatan kerja ke Rantau Panjang dan Sungai Golok di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas yang juga melibatkan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin.

Beliau juga menyatakan bahawa pembinaan jambatan kedua dijangka mengambil masa dua tahun bermula April tahun depan. Namun, beliau optimis bahawa projek tersebut boleh dipercepatkan tanpa menjeaskan kualitinya.

“Tender juga (dipercepatkan) kerana ia melibatkan 10 syarikat di Malaysia dan 10 syarikat di Thailand, tetapi proses tender itu (juga) boleh dipercepatkan. Kalau (jangkaan) siap pada 2027, mungkin kita boleh siap pada akhir 2026,” katanya.

Anwar berkata sebaik sahaja jambatan kedua siap dibina, jambatan sedia ada yang menghubungkan kedua-dua negara sejak 1971 akan dinaik taraf.

Langkah ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap negeri Kelantan. Menurut Anwar, Srettha juga memberikan maklum balas positif mengenai projek tersebut.

Anwar turut menggambarkan pemimpin Thailand itu sebagai seorang yang praktikal dan cekap dalam menyelesaikan isu-isu yang timbul.

“Saya senang dengan rakan sejawat saya (Srettha). Kalau hendak percepatkan jambatan, dua minggu bagi laporan dan Kabinet (Malaysia) akan teliti di sini dan Kabinet Thailand akan teliti di Bangkok. Jadi dengan cara itu, kita akan menyaksikan perubahan yang baik,” katanya.