Gavi menjaringkan satu gol dan mencetuskan dua lagi jaringan ketika Barcelona mengatasi Real Madrid 3-1 dalam final Supercopa de Espana awal pagi tadi, sekali gus memberikan Xavi kejuaraan pertama sepanjang bergelar pengendali pasukan berkenaan.
Pemain remaja itu beraksi cemerlang dengan membuka jaringan selepas menerima umpanan Robert Lewandowski dalam aksi El Clasico itu di Riyadh, Arab Saudi.
Gavi kemudian membalas jasa Lewandowski dengan melakukan lintangan untuk ditolak masuk penyerang itu bagi memastikan Blaugrana ke bilik persalinan di Stadium King Fahd dengan kelebihan dua gol.
Tidak lama selepas perlawanan bersambung, Gavi sekali lagi memainkan peranannya, kali ini dengan lintangan rendah untuk disudahkan Pedri, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 memihak Barca.
Karim Benzema, dalam pada itu, memperoleh jaringan sagu hati buat Madrid pada lewat permainan tetapi juara Eropah dan LaLiga berkenaan sememangnya tidak dapat menandingi seteru tradisi mereka itu dalam pertemuan kali ini.
Ia merupakan gelaran Supercopa ke-14 buat Barca dan juga kejuaraan pertama Xavi sejak dilantik selaku ketua jurulatih pasukan itu pada November 2021.
Sumber: Astro Arena