LAGU terbaharu Shakira tentang bekas pasangannya, pemain bola sepak Gerard Pique, telah memecahkan rekod YouTube.
Video muzik lagu berjudul “BZRP Music Sessions #53,” mendapat lebih 63 juta tontonan dalam masa 24 jam, menjadikannya lagu Latin yang paling banyak ditonton dalam tempoh masa itu.
Selepas tiga hari, tontonannya sudah mencecah lebih 107 juta.
Setakat ini, ia juga menjadi lagu Latin dengan strim terbanyak di Spotify dalam satu hari bagi tahun 2023, memecahkan rekod strim bagi lagu Sepanyol dan Colombia.
Lagu pop empat minit itu adalah kerjasama pertama Shakira dengan penerbit Argentina dan DJ, Bizarrap.
Shakira, 45, berpisah dengan Pique, 35, yang juga bintang Barcelona, pada 2022 selepas lebih 10 tahun bersama.
Pasangan itu juga mempunyai dua orang anak, Milan dan Sasha.
Biarpun tidak memberi alasan mengapa mereka berpisah, namun media antarabangsa melaporkan Pique kerap berlaku curang, malah sudah lama berhubungan dengan teman wanita terbaharunya, Clara Chia, sejak sebelum hubungannya dengan Shakira berakhir.
Menerusi lirik lagu itu yang berbahasa Sepanyol, Shakira dikatakan menyindir teman wanita Pique yang berusia 23 tahun.
Shakira membandingkan hubungan itu dengan menukar “Ferrari dengan [Renault] Twingo” dan “Rolex untuk Casio”.
Pique setakat ini belum memberi reaksi terhadap lagu berkenaan.
Sumber: Agensi